Izham Omar antara 425 penerima darjah kebesaran Melaka

AYER KEROH: Pengarah Urusan Oriental Food Industries Holdings Bhd, Datuk Son Chen Chuan mendahului senarai 425 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka pada hari sesi hari ini sempena hari jadi ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. Chen Chuan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri pada sesi ketiga majlis penganugerahan itu.

Seramai lapan individu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Timbalan Pengerusi Boon Siew Honda Sdn Bhd, Datuk Seri Tan Hui Jing dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Abd Talib Bachek. Duta Besar Malaysia ke Perancis,

Datuk Ibrahim Abdullah mendahului senarai lima penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, diikuti Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mazlan Lazim. Seramai 68 individu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Ahmad Izham Omar; Pengerusi EDRA Power Holdings Sdn Bhd, Lin Jian dan Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah. Sementara itu, seramai 20 penerima Darjah Seri Melaka (DSM), diikuti 33 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 72 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 110 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 90 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 18 penerima Pingat Khidmat Lama (PKL) menerima darjah dan pingat masing-masing pada majlis sama.

Sumber : Berita Harian